UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Perlis muncul juara pusingan akhir kelayakan zon Liga Bola Sepak IPT 2011 setelah menumpaskan Univesiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) 4-3 pada final yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Arau semalam.
Pertemuan tersebut menyaksikan aksi-aksi penuh dramatik dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan selain UiTM Perlis terpaksa bermain 10 orang dalam tempoh 15 minit terakhir.
Begitupun, UTeM terlebih dulu memecah kebuntuan apabila memperoleh gol pertama seawal minit keempat menerusi jaringan Muhammad Syafiq Mohd. Kamal.
Jaringan tersebut tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah yang terus tampil agresif untuk mencari gol penyamaan.
Kelekaan pemain UTeM dihukum pada minit-minit terakhir separuh masa pertama yang menyaksikan UiTM Perlis berjaya menghasilkan dua gol dalam tempoh dua minit pada masa kecederaan menerusi Mustafa Amini Ismail.
Ketika babak kedua bersambung, rentak UiTM Perlis semakin agresif dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi kekentalan pertahanan lawan menafikan peluang mereka untuk menambah jaringan.
Usaha keras yang dipamerkan oleh pemain tuan rumah sepanjang perlawanan tersebut akhirnya berhasil apabila Norhafwan Hamzah terus mengukuhkan kedudukan UiTM Perlis untuk mendahului 3-1 menerusi jaringan pada minit ke-48.
Selepas itu, padah menimpa pasukan tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Mohd. Hafizi Hamzah diperintah keluar padang kerana bertindak keras ke atas penyerang UTeM, Basiron Yusof ketika berlaku perebutan dalam kotak penalti.
Ekoran itu, ketua jurulatih UiTM Perlis, Shamshahril Shuib tidak senang duduk selama 15 minit terakhir setelah pasukannya digasak UTeM ketika kedudukan 4-3.
Namun, barisan pemain UiTM Perlis gagah bertahan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Bagi Shamshahril, kejayaan tersebut membuktikan misi mereka sudah tercapai untuk merangkul kejuaraan liga yang bermula sejak 15 Jun lalu.
“Kami hadir pada kejohanan ini memang untuk muncul juara dan saya sangat bangga terutama kepada pemain yang bekerja keras untuk merealisasikan impian ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.